Guru Lelaki SeIamba Potong Kuku Dan Sikat Kutu Murid Anak Anak Orang Asli, Tiada Sekelumit Rasa GeIi.

Guru Lelaki Selamba Potong Kuku Dan Sikat Kutu Murid Anak Anak Orang Asli, Tiada Sekelumit Rasa Geli. | ” Terus terang cakap, saya tak rasa geli atau kotor pun sebab saya sudah anggap murid ini macam anak sendiri. Saya seronok dan puas hati melihat mereka belajar dalam keadaan selesa tanpa gangguan kepala gatal dan diejek rakan sebaya,”

Demikian kata-kata seorang guru, Muhammad Aisham Azahar, 29 yang mengakui tiada sekelumit pun perasaan geli mahupun kotor membersihkan kutu di kepala anak muridnya.

Ramai tersentuh cara guru Aisham melayan anak muridnya di Sekolah Kebangsaan Pos Gedong, Bidor, Perak bagi memastikan kanak-kanak itu selesa belajar.

Guru bahasa Inggeris itu berkata, dia menganggap anak muridnya umpama ‘darah daging’ sendiri selain mahu merapatkan jurang antara dirinya dengan kanak-kanak Orang Asli itu.

” Sememangnya guru sekolah ini sentiasa menjaga kebajikan mereka termasuk rutin memotong kuku sejak bertahun lalu, tetapi saya tergerak hati apa salahnya ambil inisiatif ini apabila melihat beberapa murid mempunyai masalah rambut berkutu.

” Saya membelikan sikat untuk murid berkutu dan selalunya saya akan bantu bersihkan kutu terutama murid tahun satu yang baru masuk sekolah.

kutu

Mengenal Pasti Murid Ada Kutu Semasa Perhimpunan
Katanya, aktiviti itu kini menjadi rutin guru di sekolah terbabit apabila mereka mengenal pasti murid berkutu ketika perhimpunan.

” Selalunya, semasa perhimpunan kami akan lakukan pemeriksaan dan selepas tamat waktu belajar ada masa lapang kami akan bersihkan rambut murid berkutu.

” Murid yang berada di kelas atasan turut dibekalkan dengan sikat, Alhamdulillah, nampak banyak perubahan masalah kutu semakin berkurangan di sekolah kami.

” Malah, ada hamba Allah bermurah hati menghantar ubat kutu untuk digunakan kepada murid di sekolah kami,” katanya.

Sementara itu, guru sekolah itu Mohamad Ridzuan Mohamad Razali, 29, yang membuat perkongsian di Facebook, kelmarin berkata, ‘sentuhan’ rakannya itu amat membantu mengurangkan jurang antara murid dan guru di sekolah itu.

” Itu contoh cara hendak ‘beli’ jiwa murid supaya kanak-kanak itu sayang dan tidak rasa terasing dengan guru.

” Kebanyakan murid Orang Asli akan mempunyai perasaan terasing dengan orang luar, tambahan lagi murid tahun satu dan dua kadangkala bahasa Melayu mereka kurang baik.

” Tetapi, cara Aisham ini sangat membantu dalam meraih kepercayaan dan penerimaan murid seterusnya memudahkan mereka terima pelajaran. Bagi saya sentuhan ini sangat mahal,” katanya.

Katanya, inisiatif dilakukan Muhammad Aisham itu menjadi inspirasi buat dirinya dan rakan guru lain di sekolah itu.

” Sebenarnya, banyak lagi kebaikan dilakukan rakan saya ini termasuk membersihkan luka kaki murid sekolah ini yang bernanah akibat terkena selumbar.

” Bagi saya, apa yang pernah dilakukannya itu amat memberi inspirasi kepada guru-guru sekolah ini untuk melakukan perkara sama walaupun sekecil-kecilnya, namun impaknya besar,” katanya.